Status pemuliharaan Penyu_belimbing

Ancaman

Di beberapa negara, kehadiran penyu ini dieksploitasi bagi tujuan komersil termasuk untuk minyak, kulit dan dagingnya.[5]Pemburuan daging penyu oleh manusia menjadi faktor spesies tersebut di ambang kepupusan ekoran terdapat segelintir masyarakat yang menjadikan daging penyu sebagai korban sajian ketika menjalankan upacara ritual keagamaan.[6]

Pembangunan di pesisir pantai menjejaskan pendaratan penyu ke pantai. Sebarang pancaran cahaya dari hotel atau resort mengganggu penyu betina yang memerlukan suasana sunyi, bersih dan gelap untuk bertelur.[6]

Program

Pelbagai usaha dilakukan bagi mengatasi masalah kepupusan Penyu belimbing yang mendarat di pantai. Antaranya ialah penggunaan Peranti Penyisih Penyu (TED) oleh nelayan pukat tunda pada musim tengkujuh bagi operasi menangkap udang di kawasan Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan serta Johor diharap dapat mengurangkan kadar kematian penyu. Pemasangan TED bertujuan membebaskan penyu yang terpe­rangkap dalam pukat tunda udang dengan berenang keluar melalui injap peranti tersebut dalam tempoh kira-kira tiga minit.[6]

Sebagai tambahan, pelbagai program berkaitan kesedaran awam untuk melindungi, menyelamat dan memulihara habitat penyu daripada tercemar sentiasa dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Pejabat Perikanan Negeri dan Daerah serta Jabatan Perikanan Malaysia.[6]

Pada pertengahan 2007, Jabatan Perikanan Malaysia pernah merancang pelan untuk mengklon Penyu belimbing bagi mengatasi masalah kekurangan populasinya yang mendarat di pantai. Walau bagaimanapun, usaha ini tidak diteruskan kerana saintis berpendapat bahawa proses pengklonan hanya berjaya terhadap haiwan mamalia seperti anjing, kambing, kucing dan lembu.[7]

Namun, pendaratan seekor penyu pada tahun 2017 mengujakan banyak pihak terutamanya pasukan penyelidik selepas kali terakhir spesies itu dilihat mendarat di Pantai Rantau Abang pada 8 Ogos 2010. Malangnya, 92 biji telur yang dikatakan dari penyu belimbing, yang ditemui di dalam sarang di Pantai Rhu Kubur pada 9 September dan 32 biji lagi di pantai Kampung Jambu Bongkok pada 20 September lalu adalah rosak dan tidak boleh disenyawakan.[6] Hal ini disebabkan telur yang dihasilkan penyu betina tersebut tidak sempat disenyawakan dengan penyu jantan.

Undang-undang

Kehadiran haiwan ini di sepanjang pantai Terengganu merancakkan aktiviti pelancongan dan penjualan telur. Walau bagaimanapun, mulai tahun 1990, kerajaan negeri Terengganu mengharamkan pemakanan telurnya.[5]

Haiwan ini dilin­dungi dan diwartakan di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985; peraturan-peraturan Perikanan pengawalan spesies ikan marin terancam (pindaan) 2008. Akta ini memperuntukkan mana-mana individu yang mengganggu, mengambil, menangkap, memiliki, membunuh, memburu dan memperdagangkan sama ada telur atau anggota haiwan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.[6]

Malah, Kerajaan Negeri Terengganu juga melindungi haiwan ini melalui Enakmen Penyu Negeri Terengganu (pindaan) 1987.[6]

Rujukan

WikiPedia: Penyu_belimbing http://gilbert-wesley-purdy.blogspot.com/2005/09/a... http://hypertextbook.com/facts/1999/RachelShweky.s... http://www.nbcnews.com/id/19724526/ns/technology_a... http://www.parismina.com/turtle.htm http://w3.spancity.com/yosri/HaiwanPenyuBelimbing.... http://animaldiversity.ummz.umich.edu/site/account... http://www.nmfs.noaa.gov/prot_res/species/turtles/... http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/survival-... http://www.cnah.org/pdf_files/851.pdf http://www.cresli.org/cresli/turtles/leaback.html